IMPAK PEMBANGUNAN NEGARA TERHADAP KEMAJUAN PENDIDIKAN

 IMPAK PEMBANGUNAN NEGARA TERHADAP KEMAJUAN PENDIDIKAN NEGARA


Pembangunan merupakan satu proses perubahan secara terus menerus untuk membina kehidupan yang lebih baik. Pendidikan pula membawa maksud satu proses atau kaedah mendidik yang dibawa satu generasi ke generasi dan ianya berlaku secara semulajadi atau dibawa dari orang lain. Pembangunan negara sememangnya telah memberikan impak terhadap kemajuan pendidikan sesebuah negara. Impak pembangunan negara terhadap kemajuan pendidikan ini telah saya bahagikan kepada empat, iaitu pembagunan negara dari aspek sosial, pembangunan negara dari aspek kemajuan teknologi, pembangunan negara dari aspek kestabilan politik dan pembangunan negara dari aspek ekonomi. Kesemua aspek pembangunan yang telah saya nyatakan tersebut jelas memberi impaknya yang tersendiri terhadap kemajuan pendidikan.

Pertama, mari kita kupas pembangunan negara dari aspek sosial. Pembangunan negara dari aspek sosial nyata telah memberikan impaknya yang tersendiri terhadap kemajuan pendidikan. Hal ini saya katakana demikian kerana dengan wujudnya pembangunan dari aspek sosial ini, pendidikan telah diberikan kepada seluruh lapisan masyarakat dalam negara tanpa mengira latar belakang mereka. Justeru itu, hal ini mampu membangunkan atau meningkatkan tahap pemikiran masyarakat yang dididik ke arah pemikiran yang lebih maju. Kesan daripada hal ini ialah ia mampu melahirkan modal insan berkualiti tinggi, iaitu insan yang mengamalkan nilai dan etika yang baik dalam melalui norma kehidupan.

Seterusnya, mari kita lihat pembangunan negara dari aspek kemajuan teknologi. Pembangunan negara dari aspek kemajuan teknologi ini juga turut memberikan kesan positif yang tersendiri terhadap kemajuan pendidikan dalam negara. Hal ini dapat dilihat melalui banyaknya penggunaan ICT dalam proses pembelajaran dan pengajaran di semua institut pendidikan dalam negara. Melalui hal ini, para guru dan pelajar mampu menimba dan berkongsi ilmu pengetahuan dengan sangat mudah apabila maklumat tentang pembelajaran dan pengajaran amat mudah diperolehi melalui penggunaan ICT. Jelasnya dengan wujudnya pembangunan negara dari aspek kemajuan teknologi ini, proses pembelajaran dan pengajaran dapat dijalankan dengan lebih berkesan.



Selanjutnya, mari kita teruskan dengan pembangunan negara dari aspek kestabilan politik. Pembangunan negara dari aspek kestabilan politik ini juga amat memberikan kesan terhadap kemajuan pendidikan negara. Seperti yang kita sedia maklum, sistem pendidikan sesebuah negara sememangnya dicorakkan berkisarkan ideologi politik sesebuah negara. Melalui hal ini, proses pendidikan yang berlaku di dalam negara mempunyai matlamat jangka panjang yang tetap dan jelas selain proses pembelajaran dalam bilik darjah juga akan mampu dijalankan bersesuaian dengan matlamat yang telah ditetapkan. Selepas itu, terdapat juga pengagihan peruntukan dan belanjawan pendidikan tahunan. Pengagihan peruntukkan dan belanjawan ini diberikan kepada setiap institusi yang memenuhi syarat dalam negara. Tujuan utama pengagihan peruntukkan dan belanjawan ini adalah bagi memastikan setiap aktiviti pembelajaran yang memerlukan dana dapat dijalankan dengan mudah dan lancar.

Akhir sekali, kita akan melihat pula pembangunan negara dari aspek ekonomi. Pembangunan negara dari aspek ekonomi ini juga jelas memberikan impak terhadap kemajuan pendidikan dalam negara. Hal ini saya nyatakan demikian kerana, jelas kita dapat lihat menerusi pembangunan negara dari aspek ekonomi ini banyak bantuan yang telah diberikan kepada para pelajar. Sebagai contoh, bantuan seperti biasiswa, rancangan makanan tambahan (RMT) dan skim pinjaman buku teks telah diberikan kepada para pelajar yang telah melepasi syarat minimum bagi mendapatkan bantuan tersebut. Selain itu juga kita dapat lihat bahawa terdapat juga perkembangan infrastruktur bagi tujuan pendidikan. Sebagai contoh, makmal ICT dan makmal sains telah dibangunkan bagi tujuan pendidikan dalam negara. Jelas kita dapat lihat bahawa pembangunan negara dari aspek ekonomi ini turut memberikan impaknya yang tersendiri terhadap kemajuan pendidikan dalam negara.

Natijahnya, jelaslah bahawa semua aspek pembangunan negara yang telah saya nyatakan tersebut sememangnya memberikan impak yang tersendiri terhadap kemajuan pendidikan dalam negara. Semoga pembangunan negara terus berkembang sepanjang masa kerana ianya jelas memberikan impak yang sangat positif terhadap kemajuan pendidikan negara.


Disediakan oleh: Muhammad Mustaqim bin Ismail

No. Matrik: D20211098677


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

PENGARUH PENDIDIKAN TERHADAP PEMBANGUNAN INSAN DAN NEGARA

HUBUNGKAIT DI ANTARA FALSAFAH, DASAR DAN SISTEM PENDIDIKAN DALAM PERKEMBANGAN PENDIDIKAN DI MALAYSIA